.:: Debestthinker ::.

.:: Debestthinker ::.
ASSALAMUALAIKUM...AHLAN WA SAHLAN...PASTIKAN SETIAP LANGKAH YANG DIAMBIL ADALAH UNTUK KEBAIKKAN

Sukan..

|

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

CUIT-CUIT UST KAY (Isnin, 26 Rejab 1435H)
Tahniah MALAYSIA !

Bersukan bukan untuk menang, bukan juga untuk kalah tetapi adalah untuk sihat. Naib Juara Piala Thomas dalam sukan badminton is okay bagi Ust Kay. Untuk sedapkan hati, kita tak kalah sebenarnya kerana kita telah berusaha bersungguh-sungguh. Kita hebat tetapi pasukan Jepun yang lebih hebat daripada kita. Atau kita tewas bermaruah... Ayat skema betul !

PENCERAHAN :
Islam bukan sahaja satu agama yang merangkumi aspek ibadat semata-mata, tetapi satu cara hidup yang menyediakan peraturan dan panduan yang lengkap dalam segala aspek kehidupan manusia termasuk kerohanian, ekonomi, politik, sosial, kesenian, ketenteraan dan tidak terkecuali, sukan.

Islam menggalakkan umatnya bersukan berdasarkan nas-nas seperti berikut ;
1) Islam menggalakkan ummatnya untuk sihat dan kuat. Firman Allah SWT :
“Dan hendaklah kamu bersedia untuk berjihad semampu mungkin dengan menghasilkan kekuatan..."
(QS. Al-Anfal : 60)

2) Al-Quran memuji tubuh badan yang gagah dan memanggapnya sebagai suatu kelebihan. Firman Allah SWT. Orang yang kuat tubuh badannya lebih disukai oleh Allah. Nabi SAW bersabda ;

المؤمن القوي خير وأحب إلى الله من المؤمن الضعيف ، وفي كل خير

Maksudnya: “Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah dari orang beriman yang lemah. Kedua-duanya ada kebaikan.” (HR : Muslim)

3) Nabi saw menggalakkan sahabat-sahabatnya bermain dan menonton permainan mereka bersama Aisyah ra. Ini jelas dari hadis berikut yang diriwayat oleh Aisyah ra:
“Sesungguhnya aku telah melihat Nabi saw menutupiku dengan kain selendangnya dan aku sedang melihat orang-orang Habsyah yang bermain di masjid sehingga aku membuatnya jemu.” (HR : Bukhari dan Muslim)

Antara sukan-sukan yang sunnah untuk diceburi, ialah ;
1. Memanah
Bersabda Rasulullah SAW, “Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu.” (HR : At-Tabarani)
2. Berkuda
"Sesungguhnya Rasulullah SAW
pernah mengadakan pacuan kuda dan memberi hadiah kepada pemenangnya.” (HR : Ahmad)
3. Berenang
Rasulullah SAW bersabda, “Ajarilah anak-anak kamu berkuda, berenang dan memanah”
(HR : Bukhari dan Muslim)
4. Gusti
Ada riwayat menyatakan Rasulullah SAW pernah bergusti dengan ahli gusti kafir Quraisy bernama Rukainah Bin Abu Yazid bin Hashim. Peristiwa itu berlaku bila mana Rasulullah diminta membuktikan mukjizat baginda.
5. Berlumba Lari
Nabi SAW telah bersukan dengan isterinya Saidatina Aisyah ra. Aisyah r.a telah meriwayatkan hadis berikut ;

أنها كانت مع النبي صلى الله عليه وسلم في سفر قالت : فسابقته فسبقته على رجلي ، فلما حملت اللحم سابقته فسبقني. فقال : هذه بتلك السبقة.

"Suatu ketika Aisyah bersama Nabi SAW dalam musafir. Aisyah berkata “Aku berlumba lari dengannya dan aku dapat mengalahkannya. Setelah mana aku berisi, aku berlumba lari sekali lagi dan baginda dapat mengalahkanku.” Nabi SAW bersabda “Kemenangan kali ini membalas kekalahan yang lepas.” (HR : Abu Daud)

Satu perkara yang perlu diambil berat ialah sikap dan mentaliti penonton tatkala memberi sokongan kepada pasukan pilihan mereka. Jangan kerana terlalu taksub dengan pasukan kesayangan sehingga sanggup mengeluarkan kata-kata kesat, biadap dan sehingga bergaduh dengan pemain lawan. Perkara yang paling sukar bagi mereka terbabit dalam sukan adalah menerima kekalahan dengan hati yang terbuka. Islam mengajar kita supaya tenang, berjiwa besar dan redha.

Paling menyedihkan, ada segelintir peminat sukan yang bergaduh sesama sendiri kerana bersikap emosional. Sukan bukan sekadar menguji kekuatan dan kehebatan fizikal tetapi lebih jauh lagi ia untuk membina hubungan ukhuwah. Janganlah kita mudah dihasut oleh syaitan yang ingin melaga-lagakan umatnya supaya sentiasa bertelingkah dan bermusuhan. Tak perlulah sehingga bersumpah-sumpah dengan Al-Quran. Al-Quran untuk dibaca dan diamal bukan untuk dijadikan sumpah sukan !

ETIKA BERSUKAN DALAM ISLAM :
1. Permainan tersebut hendaklah yang dibenarkan syara’. Permainan yang haram adalah seperti melaga-lagakan bin
atang.
2. Pakaian yang digunakan hendaklah menutup aurat. Bagi wanita hendaklah pakaian tersebut tidak ketat sehingga menampakkan tubuh badan dan tidak jarang.
3. Tidak ada unsur perjudian dalam permainan. Seperti duit penyertaan peserta digunakan untuk memberi hadiah kepada pemenangnya. Hukumnya haram.
4. Tidak melalaikan sehingga menyebabkan meninggalkan benda yang wajib seperti kewajipan solat dan puasa.
5. Tidak ada perkara yang membahayakan diri sendiri dan manusia lain. Nabi saw telah bersabda ;
لا ضرر ولا ضرار

“Tidak boleh melakukan perkara yang memudaratkan diri kamu dan orang lain.” (HR : Ibnu Majah dan Ahmad)
6. Tidak ada percampuran lelaki perempuan yang dilarang (Ihtilat). Percampuran yang dilarang adalah yang ada sentuhan lelaki dan perempuan.
7. Sukan wanita yang boleh membawa fitnah kepada lelaki seperti berenang hendaklah tidak ditonton oleh lelaki samada secara langsung atau pun tidak. Dr Yusuf Qardawi menyatakan ;
“Permainan yang dilakukan wanita seumpama berenang, gimnastik, luncur ais, tarian ballet, lumba lari, lompat jauh dan sebagainya, harus diadakan sesama wanita dengan syarat-syaratnya. Tidak ada lelaki yang bukan mahram melihat sukan wanita seumpama ini. Oleh kerana itu sukan-sukan wanita seumpama berenang, gimnastik dan seumpama dengannya haram disiarkan dan ditonton oleh lelaki yang bukan mahram.”
8. Seseorang Muslim tidak dibenarkan bersukan yang boleh mempertaruhkan nyawanya atau dengan cara yang menimbulkan kecederaan diri sendiri dan orang lain.
9. Islam tidak membenarkan pertandingan atau permainan yang melibatkan percampuran kedua-dua jantina atau yang mendedahkan aurat kerana akan membuka jalan hawa nafsu syahwat dan keruntuhan akhlak.
10. Lelaki hendaklah mengamalkan sukan yang sesuai dengan sifat kelakian mereka dan begitu juga sebaliknya. Di dalam Islam, tidak dibenarkan bagi wanita bersukan dengan sukan yang khas untuk lelaki.

KESIMPULAN :
Sukan hendaklah diamalkan dengan mengikuti syarat-syarat ini supaya boleh mengelakkan sebarang kemudaratan yang tidak dikehendaki unt
uk menjaga Maqasyid Syari'ah. Terutamanya dalam pertandingan sukan permainan kegemaran ramai, seperti Bola Sepak, Hoki dan Badminton. Kalau boleh pakailah seluar panjang sebab kalau tetap pakai seluar pendek, menang belum tentu tapi confirm dah kalah dalam menjaga aurat !
Wallahu a'lam - Nak main badminton lah esok ! Ukay's

0 comments:

 

©2009 .:: DeBest_Thinker ::. | Template Blue by TNB