January 18, 2016 Berita Utama,
BANGI, Isnin – Pendakwah bebas, Prof Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah hari ini mengingatkan para jutawan atau syarikat korporat Melayu untuk tidak leka dengan budaya popular menaja program-program atau sesuatu yang tidak memberi pulangan.
“Sikap kita, bila ada duit sahaja sibuk menaja program realiti TV terutama hiburan. Kita ajar anak-anak (Islam) berpesta dan berhibur. Pernahkah kita berfikir akibatnya?
“ Justeru, saya merayu agar jutawan kita agar belajar memahami keutamaan. Kepentingan masa depan lebih utama daripada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi tulisan terbaru bertajuk ‘Budaya popular mengaburi mata’ yang disiarkan dalam Sinar Harian hari ini.
Menyentuh isu yang sama dengan merujuk kepada fenomena syarikat korporat Melayu yang mahu menaja pasukan bola sepak mengikut negeri masing-masing Prof Ridhuan Tee berkata, mereka seharusnya mengikut cara ultra kiasu menguruskan aset mereka.
Ini kerana katanya, setakat ini beliau tidak nampak ada sebuah syarikat korporat ultra kiasu berlumba-lumba tampil menawar diri walaupun kekayaan mereka jauh melebihi kekayaan kita.
“Kenapa? Kerana mereka belajar erti keutamaan dalam hidup.
Ultra kiasu sentiasa memastikan wang yang dilaburkan demi kepentingan jangka panjang atau sesuatu yang akan kekal abadi. Sebab itu, mereka menghabiskan segala harta dalam sektor hartanah. Pelaburan kekal berpulangan tinggi. Misalnya, di Gua Musang.
“Mereka sanggup berhabis membeli hartanah di sana. Bila tanah tersebut dibangunkan, rupanya kawasan tersebut kaya dengan bijih besi. Maka dibangunkan kawasan tersebut tanpa mengeluarkan modal, cukup dengan menjual bijih besi tersebut sebagai modal.
“Kenapa kita tidak berfikir panjang seperti mereka? Penyelidikan dibuat sebelum membeli, agar untung berlipat kali,” katanya.
Mengambil contoh lain seperti isu bauksit Prof Ridhuan Ter berkata puak ultra kiasu ini sangat licik.
Mereka bukan seperti kita, sanggup menggadaikan tanah yang ada bauksit, bagi mendapatkan wang sekelip mata.
“Sekadar mendapat wang sejuta sedepuk, nak dibawa ke mana? Bolehkah sejuta tersebut menyara anak cucu? Lihat sikap orang Cina apabila bukit Genting (Highlands) diberikan.
“Tidak ada seorang pun Melayu pada masa itu percaya bahawa bukit tersebut boleh diterokai dan dibangunkan seperti hari ini.
“Namun, orang Cina amat pandai. Sebelum naik ke bukit, dia tarah dulu tanah di sana, segala kayu kayan, dijadikan modal untuk membangun bukit. Akhirnya, bukit Genting tersergam indah. Kekayaan untuk berpuluh generasi yang tidak pernah habis. Tersenarai dua daripada 10 terkaya di Malaysia. Kita hanya menggigit jari,” katanya.
Bukan sekadar itu, lihat sahaja cara mereka mendapat pengecualian GST bagi empat buah Sekolah Persendirian Cina.
“Saya bukan dengki, tetapi saya memuji cara mereka bekerja. Berapa ramai kalangan jutawan kita tampil ke depan membantu sekolah agama rakyat yang seperti hidup segan mati tak mahu?,” soalnya
0 comments:
Post a Comment