.:: Debestthinker ::.

.:: Debestthinker ::.
ASSALAMUALAIKUM...AHLAN WA SAHLAN...PASTIKAN SETIAP LANGKAH YANG DIAMBIL ADALAH UNTUK KEBAIKKAN

KKM vs KPM

|

Cuba bayangkan jika cara kerja Kementerian Pendidikan kita diaplikasikan Kementerian Kesihatan.

Di hospital-hospital tidak terdapat ramai jururawat sebaliknya para doktor yang perlu melaksanakan tugas-tugas selain bidang kepakaran mereka. Apabila pesakit sampai, para doktor perlu mendaftarkan mereka dikaunter pendaftaran seperti mana guru kelas mendaftarkan para pelajar di awal tahun serta mengambil dan memasukkan data kedatangan setiap hari.

Setelah pendaftaran, para doktor perlu terlebih dahulu memasukkan data pesakit ke dalam fail pendaftaran mengikut kategori dan jenis penyakit. Sama seperti para guru yang perlu menyediakan fail untuk setiap pelajar mengikut bidang ko-kurikulum, kurikulum, disiplin dan peribadi. Belum masuk fail panitia, subjek, peperiksaan dan beratus-ratus lagi fail.

Dalam kekalutan para doktor yang mahu bersiap-sedia memeriksa pesakit mereka yang sakit, mereka akan kerap kali dilanda ombak-ombak pemeriksaan pegawai atasan yang datang untuk memeriksa kekemasan fail, data dan statistik. Bagaimana doktor-doktor ini boleh memeriksa dan merawat pesakit mereka dengan tenang jika asyik dikacau untuk dilihat pengurusan data dan fail mereka?

Belum kita kira jika para doktor sendiri yang perlu memandu ambulans untuk mengambil pesakit yang kemalangan jalanraya atau hampir meninggal kerana sakit jantung seperti mana para guru yang selalu-selalu disuruh menghantar para pelajar sama ada untuk menghadiri pertandingan, sakit ke klinik ataupun mengikuti rombongan.

Jika sistem sebegini diimplementasikan Kementerian Kesihatan di hospital-hospital maka semakin ramailah pesakit yang akan mati seperti mana ramainya pelajar kita yang seperti sudah ‘mati otak’ kerana walaupun 11 tahun belajar di sekolah tetapi masih berfikir dan menulis seperti budak tidak bersekolah. Untuk ini, siapa yang nak dipersalahkan? Guru? Eh, bukan kita sibuk-sibuk nak tengok para guru siapkan fail dan uruskan sekolah daripada bertungkus-lumus mengajar dan mendidik pelajar?

Memasukkan data dan statistik sama ada online ataupun offline, mengukur ketinggian dan berat badan murid, mengemaskini fail pengurusan yang beratus-ratus jenis, menghantar para murid ke sana ke sini dan pelbagai lagi benda remeh-temeh yang langsung tiada kesan signifikan kepada pengajaran dan pembelajaran dalam kelas serta sepatutnya boleh dilakukan pembantu   sekolah dengan kelulusan SPM.

Jadi, mengapa kita bersusah-payah melatih para guru dalam pedagogi dan teori pendidikan terkini jika di sekolah kita hanya perlu mereka untuk melakukan benda-benda yang remeh-temeh? Benda yang menghabiskan beratus-ratus rim kertas setiap hari hanya untuk ‘orang atas tengok’ sebelum diletakkan diatas rak sehingga berhabuk. Tambahan pula, kenapa pula orang atas sibuk nak tengok benda-benda ni? Sudah terang lagi bersuluh perkara-perkara yang remeh-temeh dan menyesakkan otak seperti pengurusan fail, data dan statistik ini semua tetap gagal membawa Malaysia gah dipersada pengukuran indeks antarabangsa seperti PISA dan TIMSS.

0 comments:

 

©2009 .:: DeBest_Thinker ::. | Template Blue by TNB