.:: Debestthinker ::.

.:: Debestthinker ::.
ASSALAMUALAIKUM...AHLAN WA SAHLAN...PASTIKAN SETIAP LANGKAH YANG DIAMBIL ADALAH UNTUK KEBAIKKAN

Memakai Telekung lycra ; Sah atau Batal solat wanita

|

BACA UNTUK KESEMPURNAAN SOLAT KITA...

Soalan :

Apakah hukum memakai kain telekung lycra semasa solat? Adakah benar tidak sah solat dengan memakainya kerana nampak susuk badan?

Jawapan :

بسم الله الرحمن الرحيم

Telekung lycra menjadi pilihan wanita, pada pandangan kita, ialah kerana faktor cuaca di tempat kita. Apatah lagi jika seseorang wanita itu sedang berbadan dua, ataupun sedang di ambang menopause. Mereka ingin beribadah dengan selesa, lalu ingin memilih jenis kain yang selesa dipakai.

TELEKUNG BUKAN SYARAT SAH SOLAT

Selalu kita sebutkan, memakai telekung bukankah suatu kewajipan. Syarat sah solat itu ialah menutup aurat, bukan memakai telekung solat. Pakaian untuk solat tidak semestinya berwarna putih, tidak semestinya kosong tanpa corak. Jika pakaian harian kita sudah bersih, cukup syarat menutup aurat, longgar, kita boleh solat dengan pakaian harian itu.

Memakai telekung bukan syarat sah, tetapi kerana kebiasaan dan keselesaan kita, walaupun pada asalnya supaya aurat lebih tertutup dengan sempurna. Mungkin juga kerana pakaian harian ataupun pakaian kerja kita tidak cukup syarat menutup aurat, makanya, apabila hendak solat, kita memang mesti memakai telekung untuk menutup aurat yang masih tidak lengkap tertutup.

Sebenarnya, aurat dalam solat dan aurat di luar solat (apabila ada lelaki ajnabi/bukan mahram) sama sahaja. Sama perlu ditutup sempurna, sama batas auratnya. Bahkan ada mazhab yang mengatakan aurat dalam solat semasa tiada lelaki ajnabi lebih ringan berbanding aurat di luar solat. Bagi mazhab Abu Hanifah, kaki (ظهر القدم) boleh dibuka apabila solat semasa ketiadaan lelaki ajnabi.

PAKAIAN KETAT ATAU MENAMPAKKAN SUSUK BADAN SEMASA SOLAT

Persoalan dalam hal ini sebenarnya ialah, apa hukum solat dengan memakai pakaian yang ketat/menampakkan susuk badan, sedangkan pakaian itu memang tebal tidak menampakkan kulit, dan sudah menutup bahagian aurat yang perlu ditutup?

Para ulama' mengatakan solat itu SAH, tetapi MAKRUH, dan jika ia dipakai semasa solat yang dapat dilihat oleh lelaki ajnabi, perbuatan itu BERDOSA.

Antara lain :

Al-Syeikh Sayyid Sabiq dalam Fiqh Sunnah mengatakan :

"Wajib memakai pakaian yang menutup aurat, walaupun pakaian itu ketat menampakkan bentuk aurat. Sekiranya pakaian itu nipis sehingga nampak putih ataupun merahnya kulit, pakaian itu tidak boleh dipakai dalam solat."

Al-Syeikh Saleh al-Fawzan memfatwakan sahnya solat wanita yang memakai pakaian ketat yang menutup seluruh bahagian auratnya, dalam masa yang sama, berdosa memakai pakaian begitu.

Beliau mengatakan : 

"Pakaian ketat yang menyerlahkan bentuk badan wanita tidak boleh dipakai. Pakaian ketat tidak boleh dipakai baik oleh lelaki mahupun wanita, lebih-lebih lagi kaum wanita, kerana lebih banyak fitnah ada pada mereka.

Adapun hukum solat dengan memakai pakaian ketat, sekiranya ia menutupi bahagian aurat, maka solatnya SAH kerana adanya penutup aurat, namun berdosa orang yang solat dengan memakai pakaian ketat, kerana dia (seolah-olah) melanggar satu daripada peraturan solat dengan sebab ketatnya pakaian yang dipakainya itu. Ini dari satu sudut.
Dari sudut kedua pula, ia menarik pandangan, lebih-lebih lagi kaum wanita. Maka wajib bagi wanita memakai pakaian yang longgar sempurna menutup auratnya :
tidak menampakkan bentuk badannya, tidak menarik pandangan kepadanya, tidak nipis ataupun jarang, sebaliknya pakaian itu hendaklah menutup wanita itu dengan sempurna."

KESIMPULAN : HUKUM TELEKUNG LYCRA?

➡️ Sekiranya telekung lycra dipakai menyerlahkan susuk badan, maka hukumnya sama seperti pakaian ketat. Sah solat, tetapi makruh. Berdosa jika dipakai di hadapan lelaki ajnabi.

➡️ Sekiranya pakaian harian yang dipakai itu tebal, sehingga memakai telekung lycra pun tidak menampakkan susuk badan kerana sudah dilapisi pakaian tebal di dalamnya, ia tidak dikira sebagai ketat.

Pastikan pakaian yang kita pakai tidak menyerlahkan susuk badan, tidak kira apa jenis pun nama kain dan potongannya. Baik di dalam solat, mahupun di luar solat, apabila dapat dilihat oleh lelaki yang bukan mahram.

والله اعلم

0 comments:

 

©2009 .:: DeBest_Thinker ::. | Template Blue by TNB