Soal Jawab Amalan Di Bulan Muharram
Soal Jawab bersama Ustaz Syed Abdul Kadir Al Joofre :
Soalan :
Ustaz.. Boleh tak terangkan berkenaan puasa asyura? Bila puasanya? Saya dengar 9 & 10 Muharram. Ada yang bagitau saya 11 pun sunnat puasa. Bagaimana yang terbaik? Apa lagi amalan baik di hari Asyura? Syukran.
Jawapan:
Kita akan berjumpa hari 'Asyura' (عاشوراء) sekali lagi. Di bawah ini saya nyatakan beberapa hukum yang disebutkan oleh para Fuqaha' berkaitan 'Asyura'.
1. Bilakah 'Asyura'?
Pendapat pertama : Ibn Abbas Radhiyallahu 'Anhuma berpendapat 'Asyura' adalah pada 9 Muharram. Pendapat kedua : Jumhur Fuqaha' berpendapat 'Asyura' adalah pada 10 Muharram.
2. Bila Sunnah Puasa?
Sunnah berpuasa seluruh bulan Muharram. Ini kerana ia termasuk salah satu daripada bulan-bulan haram.Sunnah muakkadah (yang sangat dituntut) berpuasa pada 10 Muharram (hari 'Asyura').Sunnah juga berpuasa pada 9 Muharram.Sunnah juga berpuasa pada 11 Muharram.Sunnah juga berpuasa 1-10 Muharram menurut sebahagian Fuqaha'.
3. Kelebihan berpuasa pada 10 Muharram?
Diampunkan dosa setahun yang lalu (hadis sahih riwayat Imam Muslim).Pada hari tersebut Nabi Musa diselamatkan daripada Fir'aun. Maka puasa tersebut adalah sebagai tanda kesyukuran*. Ummat Islam lebih berhak berpuasa daripada Yahudi (yang juga berpuasa pada 'Asyura') kerana aqidah yang sama dengan Nabi Musa.
* ia juga dalil bahawa Islam membenarkan sambutan diadakan untuk mensyukuri sesuatu perkara setiap tahun. Oleh kerana itu juga, maka sambutan maulid dibenarkan di dalam Islam sebagai tanda kesyukuran.
4. Mengapa pula puasa pada 9 Muharram?
Hadis Nabi yang bermaksud: Jika aku hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada hari kesembilan. Namun baginda telah wafat pada tahun berikutnya.Membezakan dengan amalan orang Yahudi.Ihtiyath (berhati-hati). Kemungkinan kiraan taqwim tersilap, kita tetap dapat berpuasa pada hari 'Asyura'.Termasuk bulan-bulan haram.Termasuk 10 hari pertama Muharram yang disunnahkan berpuasa oleh sebahagian Fuqaha'.
5. Hikmah berpuasa pada hari 11 Muharram?
Ihtiyath (berhati-hati). Kemungkinan kiraan taqwim tersilap, kita tetap dapat berpuasa pada hari 'Asyura'.Termasuk bulan-bulan haram.
6. Apakah amalan terbaik selain berpuasa pada hari 'Asyura'?
Meluaskan rezki (berbelanja makanan, minuman, menggembirakan kanak-kanak dan kaum keluarga).
7. Apakah kelebihannya?
Dilapangkan oleh Allah rezekinya selama setahun.*
* Hadis diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dan Attabrani dengan pelbagai sanad. Imam Baihaqi menyebutkan, sanad-sanadnya dhoif, tetapi apabila dihimpunkan kesemuanya maka ia menjadi kuat.
8. Apakah yang dilakukan oleh para salafussoleh pada hari 'Asyura'?
Disebutkan di dalam nota kaki kitab Fathul 'Allam oleh Syaikhuna Muhammad Alhajjar, menakalkan kitabAlmadkhal oleh Ibnul Hajj, para salafussoleh tidak akan melalui musim-musim ini melainkan dengan banyaknya ibadah, sedekah, berbuat kebajikan dan meraih kelebihannya, bukanlah dengan makan dan minum, bahkan bersegera menambahkan sedekah dan berbuat baik.
9. Apakah contoh amal kebaikan yang digalakkan oleh para ulamak untuk dilakukan pada hari tersebut?
Apa jua amalan kebajikan baik dilakukan pada hari yang mulia tersebut. Antara yang diajarkan oleh para ulamak adalah bersiwak, bercelak, berwangi-wangi, mengusap kepala anak yatim, menziarahi orang soleh dan para ulamak.
10. Apa hukumnya merobek pakaian, meronta-ronta dan memukul badan seperti mana yang dilakukan oleh Syi'ah pada hari 'Asyura' meratapi pemergian Sayidina Husin?
Hukumnya haram. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Sayyidina Ibn Mas'ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Bukanlah daripada kalangan kami orang yang memukul dada, mengoyak kain dan menyeru dengan seruan jahiliyyah (yakni meratap seperti ratapan kaum jahiliyyah)."
11. Ada tak doa yang ulamak dahulu amalkan pada hari tersebut?
Do'a dibaca pada hari 'Asyura'
0 comments:
Post a Comment