Ibu bapa seharusnya bercita-cita menjadikan salah seorang anak mereka hafiz (orang yang menghafaz al-Quran). Tindakan ini akan membantu anak-anak itu menjadi anak soleh atau solehah pada zaman yang serba mencabar ini.
Anak soleh inilah yang menjadi aset dan saham akhirat ibu bapa sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Apabila mati seseorang anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang diambil orang manfaatnya dan anak soleh yang mendoakannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Allah s.w.t. melalui kalam Rasulnya telah menjanjikan banyak lagi kelebihan kepada mereka yang menghafal al-Quran.
1. Orang Istimewa Allah s.w.t.
Daripada Anas r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu mcmpunyai keluarga yang terdiri daripada manusia.”
Kemudian Anas bertanya: “Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?”
Baginda menjawab: “Iaitu ahli Al-Quran (orang yang membaca atau menghafal al-Quran dan mengamalkan isinya). merekalah keluarga Allah dan orang yang istimewa bagi Allah.” (Riwayat lbn Majah)
2. Hati Tidak Diseksa
Daripada Abdullah bin Mas‘ud r.a., Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran kerana Allah tidak akan menyeksa hati orang yang menghafal al-Quran. Sesungguhnya al-Quran ini hidangan Allah, sesiapa yang memasukkannya, ia akan aman. Dan sesiapa yang mencintai al-Quran, maka hendaklah ia bergembira.” (Riwayat al-Darimi)
3. Memberi Syafaat kepada Keluarga
Mafhum sabda Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa membaca al-Quran dan menghafalnya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dan memberikannya hak syafaat untuk 10 orang anggota keluarganya yang mereka semuanya telah ditetapkan untuk masuk neraka.” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Nasa’i)
4. Ibu Bapa Memperoleh Pahala Khas
Kedua-dua orang tua penghafal al-Quran diberi dua helai pakaian baru dan bagus, malah harganya tidak dapat dibayar oleh penghuni dunia keseluruhannya. Kedua-dua orang tua itu kemudian bertanya: “Kenapa kami diberi pakaian begini?”Kemudian dijawab: “Kerana anakmu menghafal al-Quran.”
5. Dapat Tingkat Syurga Tertinggi
Daripada Aisyah r.ha., Rasulullah s.a.w. bersabda, mafhumnya: “jumlah tingkatan—tingkatan syurga sama dengan jumlah ayat-ayat al-Quran. Maka tingkatan syurga yang dimasuki oleh penghafal al-Quran ialah tingkat yang paling atas, tidak ada tingkat lagi sesudah itu.” (Riwayat al-Baihaqi dan al-Hakim)
Dengan semua kelebihan yang dijaniikan itu, ibu bapa seharusnya lebih bersungguh-sungguh dalam memastikan anak-anak mereka menghafal al-Quran atau sebahagian daripadanya, seiringan dengan memberikan mereka ilmu pengetahuan duniawi.
Wassalam.
0 comments:
Post a Comment