السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
CUIT-CUIT UST KAY (Bil.369) - HIMPUNAN TAZKIRAH CANTIK (HTC) Khamis, 8 Rabiulakhir 1436H. TERSEMBUNYI YANG DIKETAHUI
Jalan yang sunyi ke rumah Dolah,
Rumah terletak di Pokok Sena,
Amalan tersembunyi ketika beruzlah,
Bila sum'ah langsung tak guna.
Sum’ah merupakan amalan yang diperdengarkan. Kemudian menceritakan segala perbuatan pengibadatan walaupun sudah dikerjakan dengan penuh keikhlasan, namun pada akhirnya masih mengharapkan pujian. Tidak riya' dengan menunjukkan amalan, tidak juga ujub dengan kagum dan hairan sendirian. Tetapi memperdengarkan amalan agar diperkatakan orang juga adalah bukan satu kebaikan.
CERAH-CERAHKAN :
Kata sum’ah berasal dari kata samma’a (memperdengarkan). Contoh : Pada sebelah malam solat tahajud pada siang harinya menceritakan kepada rakannya bahawa dia telah melaksanakan solat tahajud supaya rakannya tahu bahawa dia seorang yang alim. Contoh ayat : "Malam tadi dalam pukul 2.30 pg aku dengar ada org yg seperti nak kopek rumah aku...masa tu aku tengah solat sunat tahajjud" Cerita seseorang pada rakannya...
Perbezaan riya', ujub dan sum’ah ialah riya' adalah amalan yang dilakukan untuk diperlihatkan kepada orang lain, ujub amalan yang dikagumi diri sendiri sedangkan sum’ah beramal supaya diperdengarkan dan diketahui oleh orang lain.
Riya' berkaitan dengan indra mata, ujub dengan indra hati sedangkan sum’ah pula berkaitan dengan indra telinga. Dalam al-Quran Allah SWT telah mengingatkan kepada kita mengenai sifat riyak dan sum'ah ini:
يَاأَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُواْ لاَ تُبْطِلُوْا صَدَقَاتِكُمْ بِالْمَنِّ وَالْاَذَى كَالَّذِىْ يُنْفِقُ مَالَهُ رِئَاءَ النَّاسِ …
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya (sum'ah) dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riya' kepada manusia…” (QS. Al-Baqarah : 264)
Imam ‘Izzuddin Abdissalam membezakan riya' dan sum’ah dengan berkata : “Riya' adalah beramal kerana selain Allah SWT. Sum’ah adalah menyembunyikan amal kerana Allah SWT, tetapi kemudian menceritakan amal itu kepada manusia.”
Namun demikian ada sebahagian qaul (pendapat) ulama' menyatakan tidak semua sum'ah adalah tercela, ada yang tercela dan ada yang terpuji. Sum’ah tercela apabila tujuan penceritaan amal itu demi pujian dan penghormatan manusia. Sum’ah terpuji apabila tujuan penceritaan supaya dicontohi oleh yang mendengarkannya kerana Allah SWT dan semata-mata mengharapkan redha-Nya.
Rasulullah SAW juga memperingatkan dalam hadisnya yang bermaksud : “Siapa yang berlaku sum’ah maka akan diperlakukan dengan sum’ah oleh Allah dan siapa yang berlaku riya' maka akan dibalas dengan riya'.” (HR : Bukhari)
Huraian hadis diatas adalah, diperlakukan dengan sum’ah oleh Allah maksudnya adalah diumumkan aib-aibnya di akhirat. Sedangkan dibalas dengan riya' ertinya diperlihatkan pahala amalnya, namun tidak akan diberi pahala kepadanya kerana beramal bukan kerana Allah semata-mata.
CHECKLIST :
1) Sum’ah merupakan amalan sendirian yang diperdengarkan kepada orang lain.
2) Riya' berkaitan dengan indra mata, ujub dengan indra hati sedangkan sum’ah pula berkaitan dengan indra telinga.
3) Telah menyembunyikan amal kerana Allah, tetapi kemudian menceritakan amal itu pula kepada manusia.
4) Sum’ah yang terpuji apabila tujuan penceritaan supaya dicontohi oleh yang mendengarkannya kerana Allah.
SIMPUL-SIMPULKAN :
Memang ada jenis orang yang tak boleh simpan kebaikan yang telah dilakukannya di waktu sendirian untuk diceritakan juga kepada orang lain. Contohnya, bila balik haji atau umrah macam-macam cerita ada terutamanya tentang amalannya di sana. Mudah-mudahan niatnya supaya orang yang mendengarkannya akan termotivasi untuk pergi haji atau umrah sepertinya dan tidak mengharapkan pujian orang.
Wallahhu a'lam - Amalan yang orang cuba sembunyikan sungguh-sungguh tanpa memperdengarkan kepada orang lain ialah berkahwin lagi satu secara senyap-senyap. Kalau tak percaya cuba puan tanyakan dengan suami puan di sebelah puan tu, mesti dia tak akan mengaku punya. Peace Yo ! Ikhlas dari Ust Kay. (UST. HJ. KAMIL SIDEK Undangan ceramah/forum/bedah buku : 0192319872)
DAPATKAN SEGERA BUKU CUIT-CUIT USTAZ KAY'S (CCUK) TERBITAN KARYA BESTARI KARANGKRAF DI KEDAI-KEDAI BUKU TERNAMA DI SELURUH NEGARA, SEBELUM KEHABISAN STOK..
0 comments:
Post a Comment