Ketika mengulas mengenai definisi globalisasi, al-Qardawi telah memetik pandangan Dr. Muhammad Abid al-Jabiri yang menyatakan globalisasi bermaksud menjadikan sesuatu berada di peringkat antarabangsa. Iaitu memindahkan sesuatu dari kawasan yang terhad dan dapat diawasi ke kawasan tanpa had yang jauh daripada sebarang pengawasan.
Justeru, globalisasi mencakupi maksud membatalkan sempadan negara, beridentitikan kebangsaan dalam lapangan ekonomi dan membiarkan segala urusan dapat bergerak bebas menyeberangi alam dan ruang angkasa yang berada dalam lingkungan planet Bumi. Bertolak dari sini maka negara-negara beridentiti kebangsaan, kerajaan dan sesuatu umat berada dalam zaman yang ditunjangi oleh globalisasi.
Globalisasi (‘Aulamah) dan Kesejagatan (‘Alamiyyah)
Menurut al-Qardawi, secara eksplesit, erti globalisasi hampir sama dengan kesejagatan ataupun universal yang dibawa oleh Islam. Kesejagatan disebutkan dengan jelas oleh al-Quran dalam surah al-Anbiyaa’ [21]:107 mafhumnya:
“Dan tiadalah Kami mengutus kamu melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”.
Tegasnya kesejagatan dalam Islam adalah berdasarkan kepada memuliakan semua keturunan manusia. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Isra’[17]:70 mafhumnya:
“Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam”
Allah menjadikan manusia sebagai khalifahnya di muka Bumi. Semua yang ada di langit dipermudahkan Allah untuk mereka. Kesejagatan juga ditegakkan atas asas persamaan antara manusia dari sudut kemuliaan kemanusiaannya dan dari segi taklif dan tanggungjawab. Manusia semuanya sama-sama bertanggungjawab untuk mengabdikan diri kepada Allah. Mereka semuanya sama sebagai zuriat Adam sebagaimana sabda Rasulullah SAW di hadapan perkumpulan ramai semasa Hajj Wada` maksudnya:
“Wahai sekalian manusia. Sesungguhnya Tuhan kamu adalah satu dan bapa kamu adalah satu. Sesungguhnya tidak ada kelebihan orang Arab terhadap orang bukan Arab, tidak juga bukan Arab terhadap Arab. Tidak ada kelebihan orang yang berkulit merah ke atas orang yang berkulit hitam dan orang yang berkulit hitam ke atas orang yang berkulit merah, melainkan dengan takwa.
(Riwayat Ahmad)
Dengan ucapan ini Rasulullah memperkuatkan lagi mesej yang disampaikan oleh al-Quran kepada seluruh manusia melalui surah al-Hujurat [49]:13 mafhumnya:
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu.”
Namun dalam ayat yang menetapkan persamaan antara manusia ini, al-Quran tidak pula membatalkan kekhususan rumpun-rumpun bangsa. Al-Quran mengiktiraf bahawa Allah menjadikan manusia berbangsa-bangsa dan berpuak-puak dengan tujuan mereka dapat saling kenal-mengenal.
Sedangkan globalisasi menurut faham Barat seperti yang nyata kepada kita melalui propagandanya hingga ke hari ini adalah, pemaksaan pengaruh politik, ekonomi, pengetahuan, budaya dan sosial dari Amerika Syarikat kepada dunia, khususnya dunia Timur atau dunia ketiga, lebih khusus lagi dunia Islam. Inilah yang dilakukan oleh Amerika Syarikat berbekalkan kemajuannya dalam bidang ilmu dan teknologi, kekuatan ketenteraannya, keupayaan penguasaan ekonominya dan keangkuhannya yang menganggap dirinya sebagai ketua dunia ini.
Globalisasi ala Amerik bukan bererti layanan saudara terhadap saudaranya sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam, malah bukan juga bererti layanan sekutu terhadap sekutunya sebagaimana yang dikehendaki oleh orang-orang yang terhormat dan merdeka di mana-mana tempat di dunia ini, tetapi ia sebenarnya bermaksud layanan tuan-tuan kepada hamba abdinya, gergasi kepada si kerdil dan orang yang membesarkan diri terhadap orang yang lemah.
Menurut al-Qardawi lagi, globalisasi dalam gambaran yang sangat ketara pada hari nin bererti membaratkan dunia atau dengan kata lain mengamerikakan dunia. Ia adalah nama yang digunakan untuk penjajahan bentuk baru. Digunakan nama yang baru untuk disesuaikan dengan zaman yang baru dengan tujuan hendak menguasai dunia di bawah satu ungkapan yang lunak iaitu globalisasi. Jadi, ia bererti pemaksaan pengaruh Amerika ke atas dunia. Mana-mana negara yang berani menentang atau melawan mesti diajar atau dihukum sama ada dengan sekatan ekonomi, ancaman ketenteraan, atau diserang secara langsung sebagaimana halnya yang terjadi kepada Iraq, Sudan, Iran dan Libya. Ia juga bererti pemaksaan polisi-polisi yang diinginkan oleh Amerika Syarika melalui pertubuhan-pertubuhan atau organisasi-organisasi antarabangsa yang kebanyakannya dikuasai oleh Amerika seperti Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO) dan lain-lain lagi.
Globalisasi turut bermaksud, pemaksaan budaya Amerika yang khusus yang tegak di atas falsafah materialisme (kebendaan) dan utilitarianisme (mengutamakan kepentingan diri dan membuka kebebasan seluas-luasnya sehingga ke tahap menghalalkan apa sahaja). Segala prasarana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mencanangkan tujuan tersebut melalui muktamar-muktamar atau persidangan-persidangan antarabangsa. Semua rumpun bangsa dikerah supaya menyetujui objektif tersebut sama ada dengan cara ugutan atau pun dengan cara pujuk rayu atau janji-janji manis.
Menurut al-Qardawi, hal ini nampak jelas dan ketara dalam Persidangan Penduduk yang dilangsungkan di Kaherah pada musim panas tahun 1994M. Matlamat muktamar atau persidangan tersebut ialah untuk mencanangkan satu deklarasi yang menghalalkan pengguguran anak secara mutlak, biar apa pun sebabnya, menghalalkan perkahwinan sejenis, memberikan kebebasan mempraktikkan seks di kalangan anak-anak, memperakui kelahiran yang bukan melalui perkahwinan yang sah, sehingga hal-hal lain yang bercanggah sama sekali dengan mana-mana agama langit dan bercanggah dengan mana-mana peraturan yang diketahui oleh rumpun masyarakat kita. Padahal perkara-perkara merupakan salah satu elemen yang membentuk masyarakat dan tamadunnya.
Bertolak dari sini menurut al-Qardawi lagi, kita dapati Universiti al-Azhar, Rabitah al-‘Alam al-Islami di Makkah, Republik Islam Iran dan pelbagai jamaah Islam mengambil pendirian yang seiringan Vatican (Roman Khatolik) dan tokoh-tokoh gereja untuk menentang aliran yang merosakkan ini. Semuanya dapat merasai bahawa bahaya besar sedang menanti dan mengancam nilai-nilai keimanan kepada Allah dan risalah-Nya, serta mengancam keluhuran akhlak yang menjadi sebab Allah mengutuskan para Rasul-Nya.
Kesan globalisasi juga nampak ketara melalui Persidangan Wanita yang diadakan di Peking, China pada tahun 1995M. Ia adalah lanjutan, pengukuhan, dan penyempurnaan kepada persidangan yang diadakan di Kaherah (1994).
Menurut al-Qardawi, Islam memperakui kekhususan-kekhusasan yang telah ditentukan kepada mana-mana bangsa kerana ia merupakan satu isu yang penting agar manusia tidak mengambil sikap melampaui terhadap manusia yang lain sehingga menyebabkan mereka berusaha memadam kehendak naluri orang lain tanpa kerelaannya dan memaksa orang lain mengikut kehendaknya.
0 comments:
Post a Comment