.:: Debestthinker ::.

.:: Debestthinker ::.
ASSALAMUALAIKUM...AHLAN WA SAHLAN...PASTIKAN SETIAP LANGKAH YANG DIAMBIL ADALAH UNTUK KEBAIKKAN

Pemikiran Prof. Dr. Yusuf al-Qardawi

|

Latar Belakang

Dr. Yusuf al-Qardawi merupakan seorang tokoh pemikiran Islam semasa dan ulama Islam yang amat disegani serta berfikiran luas dan terbuka. Hasil karyanya meliputi pelbagai bidang. Antaranya ialah bidang ekonomi, politik, perundangan, isu-isu semasa dan sebagainya. Ini menggambarkan bahawa beliau merupakan seorang ulama yang prolifik sifatnya.

Beliau dilahirkan pada 9 September 1926 M di sebuah perkampungan bernama Saft Turab, bahagian barat Mesir. Beliau berasal dari keluarga yang sederhana tetapi taat beragama. Beliau tidak berkesempatan mengenali ayahnya kerana belum sampai umurnya 2 tahun ayahnya telah meninggal dunia. Beliau kemudiannya dibesarkan oleh ibu kandung, nenek dan ibu saudaranya. Kemudian, ketika beliau berada pada tahun keempat Ibtida’iyyah ibunya pula meninggal dunia. Setelah itu beliau diasuh dan dibimbing oleh bapa saudaranya.

Sebelum mencapai umur sepuluh tahun, beliau telah menghafal keseluruhan al-Quran. Pada tahun 1953 M, beliau berjaya meraih ijazah pertama di Fakulti Usuluddin, Universiti al-Azhar dengan keputusan cemerlang. Pada tahun 1954, beliau memperolehi ijazah Pendidikan Fakulti Bahasa Universiti al-Azhar.

Pada tahun 1958, beliau memperoleh Diploma Tinggi dalam bidang Bahasa & Sastera di Ma’ahad al-Buhuts wa al-Dirasat al-Arabiyyah. Pada tahun 1960, beliau memperoleh ijazah master (M.A.) Syu’bah ‘Ulul al-Quran & al-Sunnah Fakulti Usuluddin, Universiti al-Azhar.

Beliau memperoleh ijazah Ph.D.nya pada tahun 1973 melalui kajiannya yang bertajuk “Zakat dan Kesannya Dalam Gelombang Kemiskinan” yang kemudian disempurnakan menjadi sebuah buku berjudul “Fiqh al-Zakat”, sebuah buku yang sangat komprehensif membahas persoalan zakat dengan ekonomi moden. Beliau lewat menyiapkan kajian Ph.D.nya kerana terpaksa meninggalkan Mesir akibat kekejaman pihak berkuasa ketika itu. Beliau terpaksa menuju ke Qatar pada tahun 1961 dan di sana beliau telah dilantik sebagai Dekan salah sebuah Koleh Agama. Pada masa yang sama, beliau juga mendirikan Pusat Kajian Sejarah dan Sunnah Nabi. Beliau mendapat kewarganegaraan Qatar dan menjadikan Doha sebagai tempat tinggalnya.

Pada tahun 1973, setelah menamatkan ijazah Ph.D.nya, beliau telah menubuhkan dua buah fakulti untuk putera dan puteri serta mengasaskan Jabatan Pengajian Islam di Qatar.

Pada tahun 1977, beliau mengasas serta mengetuai Fakulti Syariah dan Pengajian Islam Universiti Qatar. Pada tahun 1989, beliau menjadi pengetua yang bertanggungjawab mengasaskan Pusat Kajian al-Sunnah dan Sejarah Universiti Qatar.

Anugerah yang diperolehi:

  • Pada tahun 1991, beliau memperoleh Anugerah Bank Pembangunan Islam.
  • Pada tahun 1993, beliau memperoleh Anugerah al-Malik Faisal.
  • Pada tahun 1996, beliau memperoleh Anugerah Kecemerlangan Ilmu UIAM (Malaysia)
  • Pada tahun 1997, beliau memperoleh Anugerah Sultan Hasan Bolkiah, Brunei dalam bidang fiqh Islam.

Dr. Yusuf al-Qardawi telah melibatkan diri secara aktif dalam kerja-kerja dakwah Islamiyyah sejak dari muda lagi dan bergabung dengan gerakan Ikhwam al-Muslimin. Oleh sebab itu, beliau telah ditangkap dan dipenjara beberapa kali (pada zaman Raja Faroq dan ketika revolusi). Beliau dikenali sebagai ulama yang sangat produktif dan menghasilkan lebih daripada 50 buah buku, di samping terkenal sebagai pemidato yang handal dan mampu menambat hati dan perasaan para pendengar, seorang faqih yang teguh dan bersikap adil. Fatwa-fatwa dan pandangan-pandangannya tersebar di seluruh dunia, Barat dan Timur. Seorang ulama yang menguasai bidang-bidang ilmu keislaman dan menggabungkan antara disiplin ilmu ahli Kalam dan ahli Hadis, beliau juga dikenali sebagai sasterawan dan penyair di mana syair-syairnya dihafal generasi Islam di Barat dan Timur.

Hasil karya al-Qardawi mendapat sambutan yang sangat menggalakkan di seluruh dunia Islam. Karya-karyanya diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dunia. Mereka yang menulis mengenai beliau menyifatkannya sebagai seorang pemikir Islam yang ulung,mampu memadukan – secara berkesan – antara keteguhan syariat Islam dan tuntutan kehidupan manusia moden. Tulisan-tulisannya bercirikan ketelitian seorang faqih, kecemerlangan seorang sasterawan, ketajaman pandangan seorang mujaddid dan semangat seorang juru dakwah.

Beliau menjadi ahli dalam pelbagai institusi dan yayasan pendidikan dan dakwah di arena antarabangsa. Antara lain ialah Pusat Kajian Feqah, Rabitah al-‘Alam al-Islami di Mekah, Pusat Kajian Kebudayaan Islam Diraja, Jordan, Pusat Pengkajian Islam di Oxford, Dewan Pembimbing Universiti Islam Antarabangsa Islamabad, Pertubuhan Dakwah Islamiah di Khourtum, Sudan dan Dewan Pengawas Syariah dalam pelbagai institusi kewangan Islam.

Di samping itu beliau juga dikenali sebagai seorang tokoh penyeru aliran “Keadilan Islam” (al-Wasatiyyah al-Islamiyyah) yang memadukan antara nilai-nilai murni dan pembaharuan; mengikat pemikiran dengan pergerakan, mengambil kira semua aspek feqah (fiqah al-Sunan, fiqah al-Maqasid, feqah al-Awlawiyyat) dan pertimbangan antara keteguhan ajaran Islam dan tuntutan perubahan zaman, berpegang teguh dengan nilai-nilai lama yang bermanfaat, menerima kehadiran perkara baru yang berguna, menjadikan masa lalu sebagai pengajaran, memberikan jalan keluar bagi permasalahan yang sedang dihadapi sekarang dan menyongsong kehadiran masa hadapan.

Salah satu bidang yang banyak disentuh oleh al-Qardawi dalam tulisan-tulisannya ialah mengenai ekonomi. Bagi al-Qardawi Islam amat menitik berat masalah ekonomi. Oleh itu, menurut beliau perbincangan tentang ekonomi Islam adalah panjang. Bagi kita, cukup dengan mengambil beberapa pemikiran utama dan kaedah yang menjadi tunggak pembinaan ekonomi di dalam masyarakat Islam.

0 comments:

 

©2009 .:: DeBest_Thinker ::. | Template Blue by TNB