.:: Debestthinker ::.

.:: Debestthinker ::.
ASSALAMUALAIKUM...AHLAN WA SAHLAN...PASTIKAN SETIAP LANGKAH YANG DIAMBIL ADALAH UNTUK KEBAIKKAN

Kecelaruan gender musnah institusi keluarga

|

ISU kecelaruan gender menjadi menjadi fokus utama perbincangan umum ketika ini berikutan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada persidangannya di Kota Baharu, Kelantan pada 24 Oktober lalu yang mengeluarkan fatwa pengharaman pengkid iaitu wanita menyerupai lelaki.

Sebelum ini, kumpulan keliru gender menyembunyikan sifat mereka kerana masyarakat tradisional kukuh dengan jati diri dan komitmen agama menekannya daripada terdedah kepada khalayak.

Kini, kumpulan terbabit bukan saja semakin terdedah, malah berani menonjolkan diri di khalayak sehingga menjadi trend terbaru.

Ada yang menilai kumpulan itu secara positif kerana dominasi pemikiran liberal yang tidak didukung landasan agama. Tidak ada agama yang menghalalkan perbuatan golongan tiruan itu kerana Allah melaknat mereka seperti ditunjukkan dengan jelas dalam al-Quran. Antaranya kisah kaum Luth dan surah seperti al-Anbiyaa, ayat 74 dan 75; surah Asy-Syu'ara (ayat 160-175); surah Hud (ayat 77-83); surah Al-Qamar (ayat 33-39) dan surah At-Tahrim (ayat 10).

Berbeza dengan kumpulan ‘jadian’, Islam mengiktiraf gender khusus secara alamiah disebut khunsa yang bermaksud lembut. Pengkid juga termasuk dalam kategori sama dengan pondan yakni menyerupai gender berbeza. Menurut syarak, khunsa seseorang yang diragui jantinanya sama ada kedua-dua alat kelamin, tiada langsung atau ada alat kelamin lelaki tapi batinnya perempuan atau sebaliknya.

Menurut Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf, Fatwa Darul Ifta, ada dua jenis khunsa iaitu ghayr musykil (khunsa mudah ditentukan kecenderungan seksnya) dan khunsa musykil (sukar ditentukan).

Jika khunsa ghayri musykil, status wuduk dan ibadahnya menyerupai kaum ditentukan (sama ada lelaki atau wanita). Jika khunsa itu sudah disahkan perempuan, batal wuduk jika bersentuhan dengannya.

Penetapan posisi mereka dalam solat sudah ditetapkan oleh jumhur yang menyatakan khunsa mesti berada di barisan ketiga selepas dewasa, kanak-kanak lelaki dan khunsa selepas itu baru wanita.

Oleh itu, selain golongan yang disebut dan diiktiraf dalam agama dengan alasan lain seperti psikologi, putus cinta, patah hati, desakan sosial, pengaruh kawan serta persekitaran dan sebagainya, mereka sebenarnya adalah kumpulan ‘jadi-jadian’. Kumpulan ini yang patut diberi perhatian sewajarnya dan perlu dibanteras supaya tidak menimbulkan kecelakaan kepada peradaban manusia sejagat.

Kelakuan songsang mereka bukan saja menimbulkan malapetaka dan penyakit bahkan meruntuhkan struktur sosial semula jadi dalam keluarga kerana tidak lagi wujud ibu dan bapa. Keadaan ini tentu membahayakan keturunan serta kesinambungan zuriat yang tidak mungkin terhasil dan berterusan sebab kelahiran anak adalah mustahil daripada hasil hubungan luar tabii ini.

Malangnya, masyarakat kini seolah-olah bukan saja menghalalkan percambahan pengkid atau pondan, malah seperti menggalakkannya untuk diperakui sebagai sebahagian daripada masyarakat berasaskan prinsip toleransi dan kebebasan hak asasi individu. Sikap ini yang menyuburkan lagi penularan gejala buruk berkenaan.

Sudah tiba masanya kita melihat perkara ini secara serius dan mengambil tindakan membendungnya seperti penyalahgunaan dadah, rompak dan jenayah kerana tindakan kumpulan itu sebenarnya lebih buruk daripada jenayah biasa. Mereka ialah penjenayah sosial dan agama yang bakal meruntuhkan struktur tamadun manusia di muka bumi ini.

Ada pihak menyarankan pendekatan berhemah dengan menggunakan kaunseling dan nasihat dalam menanganinya, namun tindakan perundangan termasuk menyediakan akta khusus berkaitan tingkah laku itu dan penalti setimpal juga mesti diwujudkan.

Tindakan ini penting untuk membantu proses penguatkuasaan supaya kumpulan berkenaan tidak mudah terlepas apabila penguatkuasaan ingin dilaksanakan terhadap mereka. Adalah melucukan, malah menyakitkan hati apabila mereka sering terlepas daripada tindakan kerana tidak wujud akta yang boleh membabitkan mereka dengan pelbagai perlakuan termasuk menculik dan berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai.

Mereka bertindak lebih berani kerana seolah-olah terlepas daripada tindakan dan kalis undang-undang. Kita perlu bersikap lebih adil kepada pihak berkuasa yang seperti tenggelam punca apabila berdepan keadaan tidak diundang berhadapan dengan kumpulan itu.

Kewujudan akta khusus bukan saja boleh dijadikan alat membanteras gejala berkenaan, tetapi pada masa sama mampu mengekang perkembangan fenomena terbabit dan berupaya mempamerkan kesungguhan kerajaan mengatasinya. Keadaan ini turut memberikan amaran, menggerunkan dan menjauhkan individu lain supaya tidak terjebak dalam arus serupa.

Masa berpolemik sepatutnya tidak berlanjutan. Segalanya perlu diterjemahkan dengan tindakan kerana jelas ancaman itu bukan bersifat terpencil. Fenomena ini boleh dilihat di mana saja, pada sebarang ketika dan boleh menimpa sesiapa saja tanpa mengira status pangkat, strata sosial atau kedudukan ekonomi, bangsa atau agama.

Semua pihak mesti menunjukkan sikap tidak bertolak ansur, membenci, menolak malah menghalang segala tindak tanduk dan ancaman kumpulan penjenayah sosial dan agama ini daripada terus berleluasa. Kita mesti katakan tidak kepada gender jadian yang sudah menjadi barah masyarakat.

Tindakan serta-merta mesti dilaksanakan mengikut kuasa sedia ada sementara menanti akta khusus terhadap golongan itu. Apa atau di mana saja mereka bercambah maka menjadi kewajipan masyarakat untuk membasmi, mencegah, memantau dan menyalurkan maklumat supaya kita tidak lagi ditimpa musibah dan kemurkaan Allah seperti kaum Nabi Luth.

Kita khuatir jika masalah ini tidak dicegah dan dipandang remeh. Menghalalkan perbuatan mungkar yang besar dosanya. Maka sampai ketika apabila kita tersedar sudah terlewat untuk bertindak.

Oleh : Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia.

BH 31/10/2008

0 comments:

 

©2009 .:: DeBest_Thinker ::. | Template Blue by TNB