BAIK ATAU BURUK PENGAMBILAN TELUR.
TIDAK lama dahulu pengambilan telur dianggap diet yang negatif. Hakikatnya telur tidaklah semudarat yang disangka.
Telur tidak digemari kerana kandungan kolesterol di bahagian yang berwarna kuning. Kolesterol mudah terkumpul di dalam salur darah sekali gus meningkatkan risiko serangan jantung dan strok
Namun pada hari ini mengambil telur bukanlah punca utama yang meningkatkan kolesterol dalam darah. Sebaliknya lemak tepu di dalam mentega dan lemak haiwan yang lain akan memberi kesan yang lebih teruk
Jika anda sihat dan mengamalkan diet yang seimbang, kehadiran kolesterol di dalam makanan yang diambil seperti telur, tidak perlu dirisaukan
Menurut Profesor Mark Wahlqvist dari Universiti Monash, dan Barbara Eden dari Yayasan Jantung Australia, biarpun telur mengandungi lemak, jumlahnya hanyalah sekitar lima gram, dan lebih daripada separuh jumlah itu adalah lemak tidak tepu, iaitu lemak baik yang membantu mengurangkan kesan arteri tersumbat akibat kolesterol
Mesej yang cuba disampaikan di sini ialah telur tidak membahayakan diri anda, sebaliknya ia didatangkan dengan protein, vitamin dan antioksida. Telur sebenarnya merupakan sumber vitamin D yang jarang ditemui
Jika anda menghidap sakit jantung atau berisiko tinggi untuk menghidapinya kerana tekanan darah tinggi atau faktor lain, anda mungkin perlu mengehadkan pengambilan telur dalam menu harian anda
Namun bagi kebanyakan orang yang sihat, pengambilan empat biji telur dalam sehari bukan sahaja baik tetapi amat disarankan
BURUK - VITAMIN MEMBUNUH
FAKTA yang tidak dapat disangkal: kita pengamal suplemen. Tidak ada bukti yang mengatakan ia banyak membantu, tetapi kenyataan itu tidak menghalang kita daripada terus mengambilnya
Apa yang kita beli sebenarnya bukanlah perlindungan daripada penyakit, tetapi kesejahteraan hidup - ilusi bahawa kita sedang berusaha mengekalkan kesihatan tubuh, dan ia dapat melegakan perasaan kita
Pakar kesihatan sedar ia hanyalah satu penipuan, tetapi mereka mendiamkannya kerana bahan-bahan itu tidak memudaratkan. Tambahan pula, itu adalah pilihan pengguna
Bagaimanapun, kajian ke atas vitamin oleh pengkaji Denmark dan diterbitkan dalam Jurnal Persatuan Perubatan Amerika bakal mengejutkan dunia
Mereka lebih terarah kepada ujian klinikal yang melibatkan vitamin antioksida yang lazim seperti beta karotena, vitamin A, vitamin C (asid askorbik), vitamin E, dan selenium
Kajian ini membandingkan kumpulan konsumer yang mengambil vitamin secara tunggal atau kombinasi, dengan kumpulan yang hampir sama yang mengambil plasebo atau tidak mengamalkan apa-apa.
Kajian itu menemukan terdapat peningkatan risiko kematian yang signifikan di kalangan mereka yang mengambil vitamin, sama ada secara tunggal atau kombinasi
Vitamin A meningkatkan risiko kematian sehingga 16 peratus. Vitamin E pula sebanyak empat peratus dan beta karotena kepada tujuh peratus. Selenium dan vitamin C tidak menunjukkan peningkatan risiko
Antioksida menyerap radikal bebas. Bagaimanapun pengkaji mencadangkan penyingkiran radikal bebas boleh mengganggu proses sel penting yang lain seperti apoptosis iaitu proses penuaan dan pemusnahan kendiri sel yang dapat mengelakkan pembentukan sel kanser, atau fagositosis iaitu proses sel darah putih menelan bakteria
Vitamin yang larut lemak, termasuk A, D, E dan K, jika diambil dalam kuantiti yang banyak untuk tempoh yang lama, boleh terkumpul di dalam hati dan membentuk toksik
KOSMO 21/6/08
0 comments:
Post a Comment