.:: Debestthinker ::.

.:: Debestthinker ::.
ASSALAMUALAIKUM...AHLAN WA SAHLAN...PASTIKAN SETIAP LANGKAH YANG DIAMBIL ADALAH UNTUK KEBAIKKAN

Sulh produk baru Mahkamah Syariah

|

MASALAH kes tertangguh di Mahkamah Syariah dijangka berkurangan selepas kaedah sulh diperkenalkan. Kaedah sulh atau mediasi yang mengutamakan instrumen penyelesaian pertikaian secara perdamaian, dilihat satu produk terbaru Mahkamah Syariah yang bakal diperluaskan ke semua Mahkamah Syariah seluruh negara.

Jika sistem perbankan ketika ini terkenal dengan pelbagai skim muamalah seperti Mudharabah, Bai Bithamanin aji atau Qardu Hasan, maka sulh pula adalah skim perundangan Mahkamah Syariah ketika ini.

Sulh yang mengetengahkan elemen perdamaian memenuhi tuntutan Islam dan satu cara mencegah persengketaan berpanjangan di kalangan umat Islam.

Ini kerana, walau umat Islam berselisih pendapat atau hak mengenai sesuatu perkara, biarlah diselesaikan melalui jalan permuafakatan serta mengikut perasaan kasih sayang sesama insan.

Justeru, umat Islam dilarang bermusuhan-musuhan, apatah lagi tindakan sedemikian akan mencacat imej Islam di kalangan bukan Islam.

Inilah di antara hikmah tersurat dan tersirat dalam penggubalan kaedah sulh dalam enakmen atau akta prosedur mal Mahkamah Syariah negeri hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman mengakui sulh adalah antara kaedah terbaik yang seharusnya dimanfaatkan pihak bertikai, demi menghilangkan perasaan dendam. Di samping itu, keadaan itu dapat mengukuhkan persaudaraan ahli keluarga akibat pertikaian kedua-dua pihak.

Katanya, kedua-dua pihak yang bertikai tidak sepatutnya berpuas hati selepas berjaya mengalahkan pihak lawan dalam menuntut sesuatu haknya dalam perbicaraan.

Beliau yang juga Ketua Hakim Syarie berkata, berkemungkinan kemenangan diperoleh itu disebabkan pihak lawan kurang teliti ketika mengemukakan hujah sehingga menyebabkan tuntutan atau rayuannya ditolak oleh Mahkamah Syariah.

Secara tidak langsung, katanya, ia menyebabkan ketidakpuasan, lalu mewujudkan jurang permusuhan antara satu dengan lain. Sesungguhnya, memang benar apa yang diucapkan Sheikh Ghazali itu.

Sebagai seorang berpengalaman dalam bidang kehakiman Islam, beliau tentu memahami dan mengerti apakah yang berlaku setiap kali penghakiman dijalankan.

Bagi kes tuntutan harta sepencarian umpamanya, ada pihak tidak berpuas hati kerana haknya yang sebenar gagal diputuskan Mahkamah Syariah, disebabkan kelemahan diri mengemukakan fakta kes atau kebijaksanaan peguam pihak lawan. Bagaimanapun, masalah sebegini tidak berlaku jika dilakukan melalui kaedah sulh.

Ini kerana, sulh beramal di atas prinsip reda-meredai dan tolak ansur antara satu dengan lain.

Mengikut kaedah sulh, penuntut dan yang dituntut atau peguam dilantik akan menghadiri majlis perbincangan membabitkan timbang tara serta tolak ansur kedua-dua pihak yang dipengerusikan pegawai sulh.

Apabila kedua-dua pihak mencapai persetujuan, pegawai sulh akan membuat perakuan persetujuan berserta syarat untuk dikemukakan kepada hakim yang akan membuat perintah persetujuan.

Dalam pada itu, kes berkenaan akan berakhir selepas tamat majlis sulh.

Jelas di sini, penyelesaian melalui sulh tidak sesekali menimbulkan kebencian dan dendam mana-mana pihak kerana diselesaikan secara muafakat.

Paling membanggakan, penyelesaian melalui kaedah ini turut menampakkan keadilan kepada kedua-dua pihak.

Perkara ini turut diakui oleh ijmak ulama (kesepakatan ulama) mengenai sulh, iaitu penyelesaian secara sulh dalam pertikaian. Lebih tepat lagi untuk mencapai keadilan disebabkan kedua-dua pihak mengetahui hak yang sepatutnya mereka peroleh ke atas apa yang didakwa.

Berdasarkan perkembangan mutakhir, beberapa negeri sudah menerima konsep sulh dan akan menjadikannya sebagai enakmen atau salah satu subseksyen dalam Kanun Prosedur Mal Syariah masing-masing.

Contohnya, dalam Bahagian 14 Enakmen Kanun Prosedur Mal Syariah (Selangor) 1991, Seksyen 87 serta bahagian dan seksyen sama Ordinan Acara Mal Syariah (Sarawak) 1991 memperuntukkan mengenai sulh dan Seksyen 88 mengenai penyelesaian.

Sesungguhnya, satu langkah diambil bagi memantapkan kaedah sulh dan mempercepatkan penyelesaian kes di Mahkamah Syariah serta menyelaraskan pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini.

Sheikh Ghazali berkata, langkah berkenaan yang dilaksanakan Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil pada peringkat Persekutuan bagi menyediakan satu draf iaitu Kaedah-Kaedah Prosedur Mal (Sulh).

Natijahnya, kata beliau, satu kaedah sulh digubal iaitu Kaedah-kaedah Sulh Wilayah Persekutuan 1996.

Berikutan perkembangan itu, Selangor mengorak langkah lebih awal dengan mewartakan kaedah sulh melalui Kaedah-kaedah Tatacara Mal (Sulh) Selangor 2001.

Dengan pewartaan kaedah ini, beberapa pegawai syariah dilantik secara kontrak untuk berkhidmat sebagai Pegawai Sulh di 10 mahkamah rendah syariah daerah seluruh Selangor.

Pelaksanaan Kaedah-Kaedah Prosedur Mal (Sulh) itu turut meningkatkan fungsi pendaftar Mahkamah Syariah kerana bertanggungjawab mempengerusikan Majlis Sulh iaitu satu tugas yang sebelum ini dijalankan unit lain.

Justeru, Sheikh Ghazali mencadangkan Bahagian Pentadbiran atau Kewangan Mahkamah Syariah dikaji dan disusun semula dengan mengambil kira fungsi baru pendaftar mengikut Kaedah-Kaedah Prosedur Mal (Sulh) terutama mewujudkan Unit Sulh atau menambah bilangan Pendaftar Mahkamah Syariah.

Katanya, Manual Kerja Sulh menggariskan beberapa kaedah pengendalian proses perdamaian dijalankan.

"Pegawai sulh selaku pengerusi majlis sulh hendaklah meminta pihak plaintif dan defendan mengambil tempat masing-masing, memperkenalkan diri dan membaca doa.

"Pegawai sulh hendaklah memaklumkan kedua-dua pihak mengenai prosedur yang dipakai, sambil memberi keyakinan kepada mereka mengenai prosedur sulh seperti bercakap mengikut giliran dengan pihak lain mendengar dan memberi perhatian.

"Bercakap tenang dan tidak meninggikan suara, bercakap dengan sopan dan tidak menyerang peribadi pihak lain, tidak bercakap sesama mereka tanpa kehadiran pegawai sulh dan membuat aku janji akan mematuhi peraturan itu," katanya.

Sesungguhnya, kaedah sulh bakal menaikkan imej Mahkamah Syariah sebagai institusi kehakiman Islam yang terulung di negara ini dengan kaedah mengurangkan kes tertangguh.

Oleh itu, negeri lain perlu mewartakan segera Kaedah-Kaedah Sulh. Ini kerana, kejayaan daripada sulh tidak dinafikan lagi.

Kajian JKSM mendapati kaedah itu berjaya mengurangkan hampir 65 peratus kes di Mahkamah Syariah Selangor sejak kaedah itu diperkenalkan tahun lalu. Perkara sama berlaku di Singapura di mana sebanyak 60 peratus kes berjaya diselesaikan melalui kaedah itu.

BERITA HARIAN
17 SEPTEMBER 2002

0 comments:

 

©2009 .:: DeBest_Thinker ::. | Template Blue by TNB